4 Jenis Premis Makanan Yang Perlu Didaftar Dengan KKM
Premis Makanan Daftar KKM. Premis makanan yang beroperasi di dalam negara perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Menurut Akta Makanan 1983, premis makanan ertinya adalah premis yang digunakan bagi atau berkaitan dengan penyediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, pengiriman, pengedaran atau penjualan apa-apa makanan, atau pelabelan semula, pemprosesan semula atau pembaikan semula apa-apa makanan. Premis yang dimaksudkan adalah mana-mana premis yang disenaraikan di dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009).
4 jenis premis makanan yang tersenarai dalam Jadual Pertama adalah seperti berikut:
P1 – Semua premis makanan yang terlibat dalam pengilangan makanan.
Contoh premis yang terlibat dengan pengilangan makanan adalah seperti kilang beras, kilang roti, kilang pemprosesan makanan dalam tin dan sebagainya.
P2 – Semua premis makanan yang terlibat dalam katering dan katering makanan besar-besaran
Contoh premis yang terlibat dengan katering dan katering makanan besar-besaran adalah seperti dapur asrama sekolah, dapur hospital, dapur hotel atau resort, dapur kolej atau pusat pengajian, dan sebagainya.
P3 – Semua premis di mana makanan disedia, diproses, disimpan dan dihidangkan untuk jualan.
Contoh premis di mana makanan disedia, diproses, disimpan dan dihidangkan untuk jualan adalah seperti kedai makan, kafe, restoran, kantin, gerai, penjaja dan sebagainya.
P4 – Semua kenderaan yang makanan sedia dimakan dijual.
Contoh kenderaan yang makanan sedia dimakan dijual adalah seperti food truck, penjaja makanan basikal, penjaja makanan van dan sebagainya.
Pendaftaran boleh dibuat sendiri oleh pengusaha peniagaan makanan di laman sesawang Food Safety Information System of Malaysia. Anda boleh cetak sendiri perakuan pendaftaran premis selepas berjaya mendaftar. Pendaftaran premis makanan ini sah untuk 3 tahun dari tarikh ianya dikeluarkan. Permohonan pembaharuan boleh dibuat di laman sesawang yang sama, sekurang-kurangnya tiga puluh (30) hari sebelum tarikh tamat pendaftarannya.
Tidak mendaftarkan premis makanan merupakan salah satu kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit (RM10,000.00) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun. Jadi, sebagai pengusaha makanan anda wajib pastikan, premis makanan daftar KKM.