生意注册,营业执照与食肆注册 – 都是一样的吗?

SSM Lesen Pendaftaran Fosim KKM. Sebagai seorang pengusaha perniagaan makanan, adalah penting untuk anda pastikan bahawa kesemua dokumen perniagaan yang diperlukan lengkap dan sentiasa bersedia untuk diperiksa. Ini merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap pengusaha perniagaan makanan. Dengan adanya dokumen-dokumen ini, sesuatu perniagaan itu diperakui sah kewujudannya menurut undang-undang. Ini memberikan kredibiliti ke atas sesuatu perniagaan tersebut dan seterusnya meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Jadi apakah dokumen yang wajib disediakan oleh pengusaha perniagaan makanan dan bagaimana anda boleh dapatkan dokumen-dokumen tersebut?

3 dokumen yang perlu ada untuk sesuatu perniagaan atau perusahaan makanan adalah:

  • Pendaftaran Perniagaan / Pendaftaran Syarikat  / Pendaftaran Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) – selalunya disebut sebagai SSM
  • Lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan
  • Pendaftaran Premis Makanan – yang juga dikenali sebagai Pendaftaran FoSIM

Lazimnya dokumen-dokumen ini biasa disebut sebagai “lesen” oleh orang ramai, tetapi sebenarnya ketiga-tiga dokumen ini mempunyai tujuan yang berbeza dan dikeluarkan oleh agensi kerajaan yang berlainan. Mari kita lihat satu per satu, dokumen-dokumen yang disebutkan di atas.

1. Pendaftaran Perniagaan / Pendaftaran Syarikat  / Pendaftaran Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)

Semua perniagaan yang dijalankan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, yang lazimnya dikenali sebagai SSM. ​Ianya merupakan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang berfungsi untuk mengawalselia pematuhan perundangan korporat dan pendaftaran perniagaan di Malaysia. Peniaga dan pengusaha boleh mendaftarkan perniagaan atau syarikat mengikut keperluan masing-masing. Perakuan Pendaftaran Perniagaan (Borang D), Perakuan Pemerbadanan Syarikat (Borang 9) atau Perakuan Pendaftaran Perkongsian Liabiliti Terhad akan dikeluarkan oleh SSM mengikut jenis entiti yang didaftarkan.

Pemilik perniagaan bertanggungjawab untuk mendapatkan lesen perniagaan/permis, permit atau surat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan atau agensi berkaitan yang berkaitan jenis/aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun telah didaftarkan di SSM.

2. Lesen Perniagaan atau Lesen Premis

Pengusaha perniagaan makanan perlu juga mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Lazimnya, pemilik sesuatu perniagaan perlu membuat permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan atau lesen premis dengan PBT di kawasan di mana perniagaan atau perusahaan itu dijalankan. Dokumen-dokumen sokongan yang lain seperti salinan pendaftaran perniagaan / syarikat, sijil kehadiran Latihan Pengendali Makanan, kad suntikan vaksin tifoid, dan ada kalanya perakuan pendaftaran premis makanan perlu dilampirkan sekali semasa permohonan.

3. Pendaftaran Premis Makanan

Premis makanan yang beroperasi di Malaysia perlu didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Keperluan untuk mendaftarkan premis makanan dinyatakan dalam Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, manakala jenis-jenis premis yang perlu didaftarkan adalah tersenarai di dalam Jadual Pertama, perundangan yang sama. Pengusaha perniagaan makanan boleh mendaftarkan premis makanan melalui laman sesawang Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM). Perakuan Pendaftaran Premis boleh dicetak melalui sistem FoSIM setelah pendaftaran berjaya. Para pengusaha perlu ingat bahawa perakuan tersebut wajib dipamerkan secara mudah dilihat di premis makanan dan bukan disimpan.

Pendaftaran premis makanan ini hanya terpakai kepada premis perniagaan yang menjalankan permiagaan yang berkaitan dengan penyediaan makanan sahaja. Premis perniagaan lain yang tidak melibatkan penyediaan makanan tidak perlu didaftarkan dengan KKM.

Jadi jelaslah bahawa ketiga-tiga dokumen ini adalah perkara berbeza dan dikawalselia oleh agensi kerajaan yang berlainan.  Walaubagaimanapun, sebagai seorang pemilik atau pengusaha perniagaan makanan, anda wajib untuk:

  • daftarkan perniagaan anda
  • buat permohonan lesen premis
  • daftarkan premis makanan anda.

Diharap perkongsian pada hari ini dapat membantu anda. Sekian.